baca la jap..x sampai pon 5mint..plsssssss
DALAM masa yang begitu singkat, sampailah Rasulullah saw bersama Jibril di Baitulmaqdis. Baginda kemudian turun dari Buraq tunggangannya dan Jibril membawa Buraq itu menuju masjid.
Selepas Jibril menambat Buraq, mereka masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat sunat tahiyatul masjid sebanyak dua rakaat. Apabila selesai, Rasulullah melihat ramai manusia memenuhi masjid itu.
Sewaktu Jibril melaungkan azan, turunlah malaikat dan berhimpunlah segala nabi serta Mursalin.
Kemudian Jibril pun iqamat. Berdirilah jemaah yang memenuhi masjid itu. Mereka pun mencari-cari siapakah yang akan menjadi imam.
Jibril menarik tangan Rasulullah sampai ke mihrab.
Solatlah Rasulullah bersama jemaah yang ramai di belakangnya.
Setelah selesai solat, Jibril bertanya kepada Rasulullah: “Adakah engkau tahu siapakah yang solat di belakang engkau tadi?"
Rasulullah menjawab: "Tidak tahu.”
Jibril pun menerangkan bahawa itulah roh segala nabi dan Mursalin yang diwahyukan Allah.
Rasulullah pun memuji Allah dengan pujian berikut: “Segala puji bagi Allah Tuhan yang mengutusku, yang memberi rahmat bagi sekalian alam yang lengkap bagi setiap manusia.
“Berita yang menggembirakan serta yang menakutkan dan menurunkanku kitab suci al-Quran yang dalamnya mengatakan setiap sesuatu dan menjadikan umatku itu umat yang dikeluarkan baginya segala manusia serta menjadikan umatku itu umat yang terpilih.
“Dan menjadikan umatku itu umat yang permulaan takdirnya dan umat yang terakhir. Dan meluaskan dadaku dan membuangkan daripadaku dosa-dosaku dan diangkatkan bagiku sebutanku dan menjadikanku permulaan dan kesudahan.”
Selepas selesai Rasulullah memuji Allah, berkatalah Nabi Ibrahim : “Inilah kelebihanmu wahai Muhammad.”
Setelah melalui beberapa keadaan, Rasulullah berasa dahaga, lantas Jibril pun membawakan tiga jenis minuman iaitu susu, arak dan madu. Rasulullah memilih susu untuk diminum.
Jibril membenarkan pilihan Rasulullah sambil berkata : “Sesungguhnya engkau telah memilih asal kejadian dan jika engkau meminum anak, nescaya umat engkau akan ramai yang sesat dan tiada yang beriman melainkan sedikit.”
Seketika Rasulullah dipandang oleh bidadari dari langit. Setiap bidadari memohon kepada Allah untuk menziarahi Rasulullah. Lalu Allah pun mengizinkan mereka untuk turun dari syurga bersama malaikat.
Sampai saja kepada Rasulullah, mereka pun solat di belakang Baginda.
Selepas itu, mereka duduk pada dinding Baitulmaqdis dan Rasulullah mengucapkan salam kepada mereka. Mereka pun menjawab salam Baginda.
“Siapakah kamu semua?” tanya Rasulullah.
Lantas mereka pun menjawab: “Kami adalah daripada kalangan orang yang baik dan elok, yakni bidadari yang juga beberapa isteri bagi kaum yang suci daripada dosa mereka dan mereka itu kekal di situ dan tidak binasa.”
Dalam hadis ada disebut bahawa bidadari dijadikan Allah daripada za’faran (sejenis pohon) dan ada satu lagi riwayat mengatakan bidadari dijadikan daripada tasbih malaikat atau titik air sayap Jibril ketika ia keluar dari sungai syurga.
Akhirnya, dalam perjalanan itu, sampailah Rasulullah bersama Jibril ke Mikraj. Mikraj adalah tangga yang sangat elok.
Anak tangganya dibuat daripada emas dan perak yang dikeluarkan dari syurga Firdaus yang bertahtakan permata indah.
Di kiri dan kanan tangga ini ada beberapa malaikat. Setiap tangga ke tangga yang lain ialah sejauh 500 tahun perjalanan seperti antara langit dengan bumi.
Perjalanan antara satu langit dengan langit yang di atasnya ialah sejauh 500 tahun perjalanan juga.
Kemudian Rasulullah diangkat ke langit pertama, kedua dan demikianlah seterusnya. Tebal setiap langit ialah 500 tahun perjalanan juga.
Selepas itu, Jibril pun mendirikan tangga berkenaan, lalu naiklah mereka ke langit pertama. Maka terangkatlah mereka ke atas sambil diikuti oleh skhrah (batu Baitulmaqdis tempat berpijak untuk memulakan Mikraj).
Jibril pun memerintahkan skhrah berhenti, lalu berhenti ia di situ, tergantung antara langit dengan bumi tanpa tali hingga hari kiamat.
Setelah beberapa lama, tatkala seorang perempuan hamil melintasi di bawahnya dan terlihat skhrah, dia berasa terkejut hingga gugurlah kandungannya.
Oleh itu, telah diciptakan Allah di bawahnya sesuatu yang dapat melindunginya daripada dilihat oleh sesiapa saja yang melintasi di bawahnya. – Bersambung.